Dalam dunia yang mencabar ni, manusia semakin hari semakin rakus mengejar kemewahan. Sekarang adalah dunia di mana wang menjadi penentu kejayaan. Wang adalah pengukur tahap kesetiaan dan kebolehpercayaan. Sifat setiakawan yang menjadi pegangan kita suatu masa dulu perlahan-lahan hilang dalam kealpaan kita mencari sedetik kejayaan.
Kesetiaan dan kebolehpercayaan merupakan dua perkara terpenting dalam perhubungan sesama insan, tidak kira hubungan persahabatan, profesional atau percintaan. Tiada wujudnya suatu asas perhubungan kukuh tanpa dua elemen ini. Tiada wujudnya cinta jika satu pihak tidak mempercayai pihak satu lagi. Tidak tertegaknya tamadun agung andai masing-masing tiada persefahaman dalam diri.
Agama Islam berkembang melalui dua perkara ini. Orang pertama buktinya setia dan percaya ini penting ialah Saidina Abu As-Siddiq. Rasulullah dalam menghadapi badai kemarahan dan keangkuhan Arab Jahiliah sentiasa yakin bahawa Abu Bakar akan selalu disisi baginda. Beliau begitu yakin sekali Rasulullah membawa ajaran yang betul dan tahap kesetiaan dan kebolehpercayaan yang tinggi mengangkatnya menjadi Khalifah pertama setelah baginda wafat. Jika tiada orang yang setia kepada Rasulullah dan meletakkan kepercayaan mereka kepada Rasulullah, nescaya tidak akan wujud 1 billion umat Islam di muka bumi ini. Islam yang tersebar di tanah Melaka beratus tahun dahulu juga berkisar kepada dua perkara asas ini. Pedagang Arab dan India Muslim terlebih dahulu mendapatkan kepercayaan masyarakat setempat untuk menjalankan perdagangan mereka. Melihatkan kesungguhan mereka dan kecintaan mereka terhadap agama yang mereka anuti maka Melaka keseluruhannya tunduk dna patuh kepada ajaran Islam.
Sayangnya, elemen penting ini semakin hari semakin parah ditikam kebendaan dan material plastik. Dogma palsu hedonisma melampau menjerat minda kita. Hilang arah dalam kesesatan status pangkat dan darjat menyebabkan kita lupa tanah yang kita berpijak. Janji keberadaan selesa membalikkan cermin keinsafan yang selalu menjadi refleksi diri. Adakalanya permusuhan dan pertelingkahan remeh itu menjadi barah dalam perhubungan. Gelak ketawa dan senyuman mesra yang biasa dikongsi akan lenyap diganti syak wasangka dan dendam kesumat.
Manusia di dunia ini cuma ada dua spesis, padi dan lalang. Semua orang tahu resam padi dan lalang namun tak semua tahu sifat padi dan lalang. Padi hanya mampu hidup dalam keadaan kesepaduan pemikiran dan keazaman manakala lalang mampu mengharungi hidup dalam apa jua keadaan. Tiada padi dalam sekumpulan lalang namun sehelai lalang mampu tertegak dalam himpunan padi. Dari jauh tiada bezanya kalau dilihat bentangan sawah yang menghijau namun harus dilihat lebih dekat pasti terlihat lentuk longlai lalang di celah-celah kawanan padi. Begitulah sifat manusia, orang yang baik budi, mulia hatinya manakan bisa hidup dalam kepura-puraan namun si munafik sanggup hidup bermuka dalam kezuhudan palsu.
Aku telah menyaksikan sebuah kepuraan dalam kehidupan. Opera yang dilakonkan mereka sungguh teliti dan terkesan sehinggakan aku dikaburkan antara realiti kehidupan dan solekan kepalsuan. Terkadang aku merasakan insan yang selalu mengangguk setuju seperti padi namun rupanya lalang terselirat dicelah ranting. Aku juga menyaksikan betapa dacing keadilan itu boleh dimanipulasikan mengikut kehendak pemukanya. Rupanya tiada keadilan dalam dunia ini, mereka yang setia dan lurus akhirnya ditunjukkan jalan menuju neraka sedangkan mereka yang terang-terangan bercabang lidah dan perlakuan diagung dan dipuja. Peliknya, mereka yang dahulunya mengakui betapa liciknya cicak-cicak lidah bercabang ini menjalankan tipudaya mereka sanggup bersekongkol demi sebuah jawatan haprak yang tak bernilai!
Rupanya diamnya manusia ini penuh muslihat. Kita yang sentiasa beranggapan bahwa mereka tidak mungkin bersekongkol dengan kekalutan rupanya tunduk dalam satu perjalanan untuk mencapai anugerah duniawi. Dek kerna terbuai dengan angin bisikan syaitan, terlupa mereka batu yang mereka duduk itu pernah memberi keselesaan walau sesaat. Ada pula insan yang hidungnya tiba-tiba terangkat tinggi hinggakan terlihat lubang sebesar Gua Kelam...dek kerana baru mencapai hajat dan kekayaan. Mereka langsung lupa insan-insan yang pernah menjadi tangga kejayaan dan menghilangkan kesetiaan dalam kerlipan mata. Tiada lagi memandang tangga yang dibawah kerana yakinnya sampai sudah ke kemuncak, sedangkan terlupa mereka kemuncak itu cumalah sebuah tangga lagi..mungkin tangga itu sudah terlalu lama menahan ego sipemanjat lalu berpakat untuk meruntuhkan keegoaan..langsung jatuh terduduk menyembah bumi. Tersedar kembali tangga itu sudah tiada yang tinggal lingkaran tali berduri yang masing-masing ingin menikam masing-masing...
Campakkan ego mu jauh-jauh kerana kejayaan mu itu sifatnya fana. Andainya percaya kejayaan itu hasil usahamu maka baliklah bermimpi lagi kerna tangga-tangga usang itulah yang menjulang kejayaan mu. Setianya mereka untuk menjulang namamu, namun setelah sampai ke puncak idaman, palitan najis kau tinggalkan...Sedarlah diri kerna disebabkan kepercayaan mereka terhadapmu maka impian itu terlaksana...
Mungkin suatu hari nanti pabila kau tersedar dari tidur yang lena baru kau tahu, impian angin mu itu cuma mimpi terindah tinggalnya. Mungkin kau sedar duri-duri yang kau sangka kuntumnya mawar itu rupanya lintah menghisap darahmu...terlambat sudah untuk kau menyedari kaca yang menikam kaki mu itu sebenarnya berlian yang kau lupakan demi impian plastik mu!