Mentari pagi Ahad bening memancarkan sinarnya, tanda bermulalah satu lagi hari dalam tahun ini. Alangkah indahnya kehidupan pabila kulit ini dipanah sinar lembut mentari. Kesejukan hawa dhuha seakan-akan cuba menggodaku untuk terus melabuhkan diri melayari mimpi tertangguh namun demi menggalas sebuah harapan, aku menepis enak nafsu godaan mimpi untuk ku melayari sebuah lagi hari.
Bersama Rain, aku menjejaki sebuah perjalanan penuh liku. Aku sendiri tidak pasti sejauh mana sanggup aku gagahi dan aku juga pasti Rain pasti mengangguk tanda setujunya, namun atas nama minat kami harungi desiran bayu pagi.
Lega rasanya pabila kaki menjejak tanah setelah 1 jam jauhnya perjalanan. Mesra mereka menyambut kami kembali menghilangkan rasa kepenatan yang mencengkam. Namun setelah memulakan perjalanan kembali, episod ngeri bermula.Entah bagaimana dalam kealpaan dan keasyikan menikmati hijau saujana bumi, kami tersasar jauh dari matlamat sebenar. Kerisauan mula menginjak hati kami, serasanya kami sudah kehilangan arah. Namun syukur, jalan kami dipermudahkan Yang Esa...
Andai kamu terasa peritnya kehidupan ingatlah kamu sekadar diuji. Andai kamu mahu mengalah, ingatlah tiada kebanggaan dalam ketewasan. Sekiranya kamu tersungkur dipertengahan dan tewas, ayuh bangun dan tamatkan larian kerna tiada yang puas pabila mencapai titik penamat. Bayangkan dunia penuh warna, tinggalkan kekelaman jiwa. Taburkan hatimu dengan kasih sayang dan bongkarkan akar-akar hasad. Pohonkan keimanan dalam dada, bungakan kesyukuran di lisan dan berbuahlah kejayaan dalam amalan,sentiasa sirami dengan keikhlasan dan bajailah dengan ketakwaan, moga-moga USAHA mu itu beroleh barakah dan kejayaan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment